TAWAU: Polis menahan lapan lelaki termasuk tiga warga asing dalam satu Operasi Bersepadu Khas selepas merampas cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis mushroom serta air ketum, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi kira-kira jam 8.30 malam itu dijalankan oleh pasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau serta Balai Polis Seri Indah.
“Semasa serbuan, polis mengesan sekumpulan lelaki yang berada di bahagian tepi kanan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 13 botol cecair vape pelbagai perisa jenis mushroom yang disyaki mengandungi dadah, sebotol air ketum yang diletakkan di atas meja, serta sebuah kotak rokok berisi sembilan batang rokok mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.
Jasmin berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun terdiri daripada warganegara Malaysia, manakala tiga lagi adalah warga asing dan dua daripadanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kesemua lapan suspek telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pemilikan atau pengedaran cecair vape yang mengandungi bahan terlarang.
“Polis akan terus melaksanakan operasi bersepadu dan mengambil tindakan tegas termasuk mengesan keseluruhan rangkaian pembekal dan pengedar sehingga ke akar umbi bagi memastikan daerah Tawau bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

