KUDAT: Sepasang suami isteri warga emas ditemui rentung selepas sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, Kudat, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam, 23 Januari 2026, sebelum jentera bomba tiba di lokasi pada jam 12.36 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki yang telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan laluan sempit, jambatan kecil serta wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera bomba.
Operasi dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan, dibekalkan air daripada tangki jentera bomba.
Tambah Darikson, dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 74 tahun dan isterinya berusia 73 tahun ditemui dalam keadaan rentung di bilik tidur rumah berkenaan pada jam kira-kira 1 pagi. Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.30 pagi.
“Mangsa lelaki dikeluarkan pada jam 2 pagi manakala mangsa wanita pada jam 3.50 pagi, sebelum kedua-duanya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan seramai 18 anggota terdiri daripada 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kudat dan lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer, dengan bantuan tiga pegawai polis serta tiga anggota Kementerian Kesihatan Malaysia.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat dan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

