Site icon TUHAU BAMBANGAN

KPSTI utamakan penyelenggaraan sekolah daif khusus skala 6, 7 di Sabah – James

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah menegaskan keutamaan terhadap penyelenggaraan sekolah-sekolah daif di Sabah, khususnya sekolah Skala 6 dan 7, sebagai langkah memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan selesa untuk murid, kata Menteri KPSTI Sabah, Datuk James Ratib.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat rasmi delegasi KPSTI Sabah ke atas Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, di Putrajaya pada Jumaat.

Rombongan seramai 13 orang itu turut disertai Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Menurut James, pertemuan tersebut menjadi platform penting memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan pembangunan pendidikan negeri.

Antara isu utama dibincangkan ialah cadangan pengwujudan gred JUSA C bagi memperkemas pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, selaras dengan keperluan pengurusan pendidikan yang semakin kompleks.

Tambah beliau, KPSTI Sabah turut mengemukakan keperluan penambahbaikan silibus Sejarah agar sejarah Sabah dapat diketengahkan secara lebih menyeluruh dalam sistem pendidikan negara.

Dalam aspek pendigitalan, KPSTI Sabah memohon pembekalan Smart Board serta enam item utama untuk sekolah-sekolah di Sabah, meliputi notebook, smart board, charging cart, kemudahan Starlink, skrin LED dan perluasan liputan internet.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan Malaysia bersetuju mengaktifkan semula perancangan pembinaan SMK Botition yang akan dimohon di bawah Rolling Plan 3 (RP3) kelak.

Exit mobile version