Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis siasat kes simbah cat merah di dua premis pinjaman wang berlesen sekitar KK

KOTA KINABALU: Polis menjalankan siasatan berhubung dua kes khianat melibatkan perbuatan menyimbah cat merah di dua premis pinjaman wang berlesen di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan membabitkan kejadian di sebuah premis di Api-Api Centre dan satu lagi di Jalan Perpaduan, Kampung Air.

“Dalam kedua-dua kejadian, individu tidak dikenali dipercayai telah menyimbah cat pada bahagian hadapan premis terbabit. Perbuatan tersebut turut dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, kejadian itu mengakibatkan kerosakan harta benda serta menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan premis dan orang awam.

Menurutnya, siasatan awal telah dijalankan termasuk merakam percakapan pengadu, melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mengesan suspek yang terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” tegas beliau.

Exit mobile version