KAHERAH: Kerajaan Sabah menyasarkan negeri itu sebagai pusat Darul Ifta serantau susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Sabah dan Darul Ifta Mesir, yang membuka ruang kerjasama strategik dalam bidang kefatwaan, penyelidikan dan keilmuan Islam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, satu Jawatankuasa Pelaksanaan MoU akan diwujudkan segera bagi memastikan kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara berkesan, selain merangka perancangan baharu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua pihak.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad di Pejabat Darul Ifta, di sini, pada Jumaat.
Menurut Arifin, antara fokus utama kerjasama itu ialah penganjuran program dan kursus kefatwaan khusus kepada mahasiswa Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir.
“Kita sedang meneliti kaedah agar pelajar Sabah yang mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar, Kaherah dapat menamatkan pengajian dengan memperoleh dua kelayakan, iaitu ijazah akademik serta sijil diploma kefatwaan,” katanya.
Beliau yakin penubuhan jawatankuasa bersama itu mampu merealisasikan hasrat menjadikan Sabah sebagai pusat rujukan Darul Ifta bagi program penyelidikan, latihan kefatwaan dan rujukan keilmuan Islam di peringkat serantau.
Arifin turut menegaskan pendekatan kefatwaan Darul Ifta Mesir yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, nilai wasatiyyah, toleransi serta penolakan ekstremisme amat sesuai dengan konteks Malaysia dan rantau ASEAN.
“Malah, kebanyakan mufti dan pegawai fatwa di Malaysia serta beberapa negara ASEAN pernah mengikuti latihan kefatwaan di Darul Ifta Mesir,” katanya.
Sementara itu, pelajar-pelajar Sabah di Kaherah menyambut baik pemeteraian MoU berkenaan kerana disifatkan mampu memperkasa ilmu, kemahiran serta memberi nilai tambah kepada pengajian mereka sebagai persediaan menghadapi cabaran masyarakat pada masa hadapan.

