Site icon TUHAU BAMBANGAN

Penunggang motosikal maut, bertembung Toyota Camry buat ‘U-turn’ di Jalan Lintas

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang membuat pusingan U di Jalan Lintas berhampiran simpang Starbucks, di sini, pada Rabu malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.35 malam apabila kereta berkenaan yang datang dari arah Kolombong menuju ke City Mall membuat pusingan U di lokasi kejadian.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Aveta yang bergerak lurus dari arah bertentangan menuju ke Kolombong telah bertembung dengan kereta tersebut di bahagian sisi kiri pintu penumpang hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 malam oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Toyota Camry terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, pihak polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Exit mobile version