KOTA BELUD: Tindakan mencurigakan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya membawa kepada penahanan dua lelaki bukan warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di daerah ini, tengah hari Khamis.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) ketika sekatan jalan raya Op Perdagangan di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Rangalau.
Menurut polis, sebuah kenderaan Mitsubishi Triton berwarna oren bertindak melarikan diri sebaik diarahkan berhenti, menyebabkan berlaku aksi kejar-mengejar dari lokasi sekatan jalan raya sehingga ke Kampung Bokilong, Kota Belud.
Susulan itu, kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek berjaya ditahan oleh pasukan BSJ, manakala beberapa rakan suspek lain dilaporkan meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemui beberapa gulungan kabel telekom di bahagian belakang, dipercayai hasil kegiatan mencuri,” menurut kenyataan itu.
Dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun itu bersama kenderaan serta barang rampasan dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis Daerah Kota Belud menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah, khususnya yang menjejaskan kemudahan awam dan keselamatan masyarakat setempat.

