KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Republik Singapura untuk membuka pejabat konsulat di Kota Kinabalu pada tahun ini, yang dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Sabah dan negara berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembukaan konsulat Singapura mempunyai kepentingan strategik merangkumi aspek ekonomi, diplomatik, pelaburan, perdagangan dan keselamatan, khususnya melibatkan kepentingan Sabah.
Menurut beliau, kehadiran konsulat itu diyakini dapat memperluas jalinan kerjasama antara Sabah dan Singapura, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembukaan pejabat konsulat Singapura di Sabah pada tahun ini. Ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Sabah dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Hajiji turut mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pelabur dari Singapura untuk menerokai sektor-sektor berdaya saing di Sabah, selain menggalakkan peningkatan ketibaan pelancong dari republik berkenaan.
Sementara itu, Vanu Gopala Menon memaklumkan bahawa Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sabah dan Sarawak selepas memperoleh kelulusan rasmi daripada Kerajaan Malaysia pada bulan lalu.
Terdahulu, pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menyambut baik kelulusan Malaysia terhadap cadangan pembukaan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

