KOTA MARUDU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kota Marudu memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simon Dindori berkata, remaja berkenaan, Nur Syakilla Maysara Julman, dipercayai keluar dari rumahnya ketika ibu bapanya tiada dan sehingga kini masih belum pulang atau dapat dihubungi.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang apabila ibu bapa mangsa keluar rumah untuk membeli ikan di Kampung Malubang, Pitas. Apabila mereka pulang sekitar jam 8 malam, mangsa didapati tiada di rumah.
“Usaha pencarian awal telah dijalankan dengan mendapatkan maklumat daripada jiran-jiran sekitar, namun tiada saksi yang melihat mangsa pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Supt Simon berkata, mangsa berbangsa Bajau, berketinggian kira-kira lima kaki, berbadan gempal dan berwajah bulat, berkulit hitam manis serta berambut lurus paras bahu. Mangsa juga mempunyai ciri khas rambut berwarna kekuningan di bahagian tengah dan tahi lalat di bawah dagu.
Beliau menegaskan, siasatan masih dijalankan dan pihak polis amat mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan mangsa agar segera menghubungi Balai Polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu.
“Kerjasama orang awam amat penting bagi membantu mempercepatkan usaha mengesan mangsa,” katanya.

