Site icon TUHAU BAMBANGAN

Satu maut, satu patah tangan, Vigo terbabas & jatuh dalam lubang pembentungan sedalam 7 meter

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam kira-kira tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke bandar Lahad Datu, pagi tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah Toyota Vigo terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan (jacking pit) sedalam tujuh meter dan selebar kira-kira 6.5 meter yang masih dalam pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dua mangsa lelaki berjaya dikeluarkan dari lubang pembentungan oleh pasukan bomba menggunakan tali dan pengusung (stretcher).

Menurutnya, seorang mangsa, Muhammad Almadi Hassan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi mangsa, Wilyamil Ahajul berusia 34 tahun, mengalami kecederaan patah tangan.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambah beliau, pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi. Operasi menyelamat melibatkan seramai 14 anggota BBP Lahad Datu dengan bantuan agensi lain termasuk PDRM dan KKM.

Exit mobile version