Site icon TUHAU BAMBANGAN

37 penduduk hilang tempat berteduh selepas insiden kebakaran musnahkan 17 buah rumah di Putatan

PUTATAN: Seramai 37 penduduk kehilangan tempat berteduh selepas 17 buah rumah atas air musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Dumpil di sini, awal pagi Khamis.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 6.59 pagi itu membabitkan deretan rumah jenis tidak kekal, dengan 14 rumah musnah sepenuhnya, sebuah rumah terbakar kira-kira 50 peratus, manakala dua lagi masing-masing 10 peratus, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum pasukan pertama tiba di lokasi dalam tempoh lima minit.

“Operasi pemadaman melibatkan kerjasama BBP Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang dengan kekuatan keseluruhan 22 anggota. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 12.51 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan lima pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada jentera tangki air bomba dan sungai berhampiran, memandangkan kedudukan rumah di atas air menyukarkan pergerakan jentera.

Berdasarkan Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah, insiden kebakaran di Putatan itu menyebabkan 12 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas, membabitkan 37 orang penduduk, dengan sebuah pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan mangsa terlibat.

Pihak bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi bagi memastikan tiada bahaya susulan sebelum operasi ditamatkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Exit mobile version