KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak dan gas.
“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance, di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Sementara itu, Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global.
Menurutnya, ConocoPhillips memberi tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia. “Kami bangga dapat bekerjasama membangunkan industri minyak dan gas di Sabah dan yakin sektor ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang amat cerah kepada negeri ini,” katanya yang pertama kali melawat Sabah.
ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah selepas Petronas memindahkan pengendalian kluster tersebut kepadanya pada 21 Januari 2025, sekali gus menjadikannya pengendali tunggal bagi medan minyak dan gas berkenaan.

