KENINGAU: Seorang pemandu kereta Proton cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah pacuan empat roda (4WD) yang sarat dengan muatan buah durian di Jalan Agudon, di sini, pada malam Rabu.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira jam 8.53 malam itu, kemalangan melibatkan sebuah Proton Gen-2 dan sebuah kenderaan 4WD.
Pemandu Proton dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala pemandu 4WD tidak mengalami sebarang kecederaan.
BBP Keningau menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian untuk menjalankan kerja-kerja keselamatan.
Pasukan bomba bertindak memutuskan sambungan terminal bateri kedua-dua kenderaan bagi mengelakkan risiko percikan api, selain menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi dan kenderaan terlibat bagi memastikan tiada bahaya lain.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.23 malam selepas keadaan disahkan selamat, sebelum pasukan bomba kembali ke balai.
Pihak bomba turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi had laju, memastikan jarak selamat dan mengekalkan fokus semasa memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

