KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan sebanyak 22 kompaun terhadap premis makanan yang didapati melanggar pelbagai peraturan kebersihan dan keselamatan makanan sepanjang operasi pemeriksaan dan penggredan yang dijalankan dari 5 hingga 16 Januari lalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan berperingkat oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya itu melibatkan 50 premis makanan di sekitar pusat bandar, Tanjung Aru, Damai, Manggatal dan Sepanggar.
Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah pengendali makanan gagal memiliki kad pengendali makanan serta sijil kesihatan yang sah, selain kegagalan menyelenggara perangkap lemak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“DBKK turut mengambil tindakan terhadap premis yang didapati membuang atau mengalirkan sisa makanan, minyak dan lemak ke dalam parit awam sehingga mengotorkan persekitaran serta kaki lima,” menurut kenyataan itu.
Daripada keseluruhan premis yang diperiksa, 10 premis memperoleh Gred A manakala 40 premis lagi diberikan Gred B berdasarkan tahap kebersihan dan pematuhan syarat ditetapkan.
Bagi memperkukuh kawalan kebersihan dan keselamatan makanan, DBKK turut menambah baik syarat lesen premis makanan dengan beberapa ketetapan baharu, termasuk kewajipan menjalankan kawalan makhluk perosak sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan dan memastikan premis bebas daripada urungan lipas, lalat dan tikus (LILATI).
Selain itu, premis makanan diwajibkan mencapai markah penggredan minimum 60 peratus, manakala tandas premis perlu mencapai tahap kebersihan sekurang-kurangnya empat bintang.
DBKK menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan bandar raya sentiasa terpelihara serta keselamatan makanan kepada pengguna terjamin.

