KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 24 tahun dilaporkan pengsan semasa menjalankan aktiviti mendaki di kawasan Taman Botani Tun Fuad Stephens, berhampiran Klinik Mesra Bukit Padang, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba terpaksa mendaki kira-kira 250 meter untuk mendapatkan mangsa yang dilaporkan pengsan semasa aktiviti mendaki. Mangsa didapati dalam keadaan sedar ketika ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung (stretcher) bagi memastikan keselamatan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu berjaya dikendalikan sepenuhnya dan ditamatkan pada jam 6 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi kejadian.
Beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik sebelum melakukan aktiviti rekreasi lasak seperti mendaki bukit.

