Site icon TUHAU BAMBANGAN

Anak syarikat bawah Sedco gagal capai keuntungan dalam setahun akan ditutup – Masiung

KOTA KINABALU: Operasi anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang gagal mencapai keuntungan dalam tempoh setahun akan melalui proses management buyout atau ditutup, tegas Pengerusinya, Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata, langkah tegas itu perlu diambil bagi mengelakkan syarikat yang mengalami kerugian berterusan terus membebankan agensi induk dan menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan.

“Jika kita pertahankan syarikat yang rugi dan membebankan agensi induk, umpama kita bermain bola ‘gol sendiri’. Kita mahu lihat prestasi mereka, sama ada sasaran tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai, kenapa; jika tercapai, kita perlu tingkatkan,” katanya.

Masiung berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco di sini, semalam.

Menurut beliau, reformasi signifikan akan dilaksanakan terhadap urus tadbir anak syarikat yang kurang berdaya saing, termasuk mewajibkan syarikat yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya bersama pengurusan tertinggi Sedco sedang menilai keberkesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah kumpulan itu, dengan pemantauan operasi dibuat secara berkala setiap tiga bulan.

“Walaupun setakat ini belum ada laporan serius berkaitan salah laku korporat, operasi anak-anak syarikat tetap akan dipantau rapi. Saya sendiri akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Masiung berkata, sebanyak 23 anak syarikat kini beroperasi di bawah Kumpulan Sedco merangkumi pelbagai industri, dengan tiga entiti dikenal pasti sebagai tumpuan utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri.

“Tiga syarikat berkenaan ialah Sedco Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Economy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd,” katanya.

Exit mobile version