KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap kewujudan kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disifatkan berlaku sehingga ke peringkat tertinggi, sambil menegaskan bahawa amalan itu merupakan satu pengkhianatan kepada negara.
Seri Paduka Baginda bertitah, segala perancangan dan dasar kerajaan tidak akan mencapai kejayaan sekiranya budaya rasuah masih berleluasa dalam sistem pentadbiran dan institusi negara, termasuk pasukan keselamatan.
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau the tip of the iceberg. Saya yakin masih ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, Polis dan sebagainya, termasuk juga yang berada di dalam dewan ini, yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, baru-baru ini.
Baginda menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa kompromi, sambil menyeru rakyat agar menjadi mata dan telinga dengan melaporkan sebarang salah laku kepada pihak berkuasa.
Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa tindakan tegas bukan sahaja perlu diambil terhadap penerima rasuah, malah pemberi rasuah serta ejen yang bersubahat juga mesti disiasat dan dihukum mengikut undang-undang.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan secara pantas, telus dan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan individu terlibat, selain mencadangkan penyediaan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes rasuah.
Baginda turut mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam bahawa jawatan yang disandang merupakan amanah rakyat dan negara.
“Sesiapa yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau melindungi perasuah adalah dianggap sebagai pengkhianat negara,” titah Sultan Ibrahim.

