TENOM: Cubaan seorang pemandu lori untuk menyelamatkan diri dengan terjun keluar gagal apabila dia maut selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan bibit sawit di Jalan Tenom–Keningau, berhampiran Pammo’s View, Kampung Pamilan Batu 15.5, petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, lori berkenaan dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan. Mangsa lelaki berusia 38 tahun dilaporkan cuba terjun keluar sebelum kenderaan terbabas, namun tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum mengerahkan lima anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa tersepit dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pasukan bomba terpaksa menggunakan bantuan jentera berat jenis ekskavator bagi mengeluarkan mangsa berikutan kedudukan lori dan keadaan mangsa yang tersepit.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.24 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

