Site icon TUHAU BAMBANGAN

Padah gunting tudung pelajar dengan alasan tidak cukup labuh, guru dipindah ke sekolah lain

KOTA KINABALU: Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu yang tular selepas menggunting tudung pelajar telah ditukarkan ke sekolah lain sebagai tindakan susulan insiden berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata, pertukaran guru itu telah dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.

“Saya dimaklumkan guru tersebut telah ditukarkan ke sekolah lain. Beliau juga telah memohon maaf kepada ibu bapa murid yang terlibat dan menggantikan tudung yang digunting,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, murid yang terlibat masih kekal bersekolah di sekolah berkenaan, manakala tindakan terhadap guru itu diambil bagi meredakan keadaan dan menjaga kebajikan semua pihak.

Raisin menasihatkan guru supaya sentiasa melaksanakan tugas dengan berhemah serta mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pelajar supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak sekolah yang berlandaskan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) demi kebaikan murid.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang di sekolah lain,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman dan hantaran mengenai seorang guru yang menggunting tudung beberapa pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa.

Berdasarkan hantaran tular itu, kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat, hari kelima sesi persekolahan 2026, dengan alasan tudung yang dipakai pelajar tidak memenuhi kriteria ditetapkan pihak sekolah.

Exit mobile version