KUALA LUMPUR: Influencer atau Pempengaruh media sosial atau digital diwajibkan mengisytiharkan semua pendapatan mereka termasuk barangan percuma, hadiah atau perkhidmatan yang diterima bagi tujuan penilaian atau promosi produk, menurut Garis Panduan baharu yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
LHDN memaklumkan garis panduan itu bertujuan memudahkan pematuhan undang-undang cukai, dan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa meminda atau membatalkannya pada bila-bila masa di bawah Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967.
Menurut LHDN, pempengaruh ialah individu atau objek yang mempunyai keupayaan mempengaruhi orang lain melalui media sosial atau platform digital dan mampu menjana pendapatan melalui aktiviti kandungan, promosi produk, kemunculan acara serta penerimaan bayaran, hadiah atau manfaat.
Pendapatan pempengaruh termasuk bayaran daripada platform media sosial, bayaran duta produk, jualan barangan atau akaun, royalti watak digital serta sebarang hasil lain, sama ada diterima dalam bentuk tunai, barangan, baucar, perkhidmatan percuma atau hadiah digital yang mempunyai nilai wang.
LHDN turut memaklumkan pempengaruh boleh menuntut perbelanjaan dibenarkan seperti kos internet, penggambaran dan penyuntingan di bawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan, manakala perbelanjaan peribadi atau berbentuk modal tidak dibenarkan.
Semua pempengaruh juga diwajibkan menyimpan rekod pendapatan dan perbelanjaan selama tujuh tahun bagi tujuan audit LHDN.
Sumber: Berita Harian

