Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bapa tiri curi-curi rakam ahli keluarga dalam bilik air, polis temui 10 video aib

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki merakam video secara sulit terhadap ahli keluarganya di dalam bilik air sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.27 petang sebelum suspek diberkas kurang dua jam kemudian, kira-kira jam 8.07 malam, pada hari yang sama.

Menurutnya, perbuatan suspek terbongkar apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik bapa tirinya disorokkan di dalam tandas rumah berkenaan dalam keadaan sedang merakam, sebelum menyerahkannya kepada ibunya.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa rakaman video yang mengaibkan melibatkan mangsa dan anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dan tinggal serumah dengan mangsa kemudiannya dipersoalkan oleh ahli keluarga sebelum mengakui perbuatannya.

Tambahnya, pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit yang dirampas mendapati sebanyak 10 klip video disimpan, melibatkan mangsa serta dua orang anaknya.

Menurut ACP Jasmin, kes disiasat mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral serta mencabul privasi, khususnya melibatkan ahli keluarga sendiri,” katanya.

Exit mobile version