Site icon TUHAU BAMBANGAN

Video buaya tular: Ladang beroperasi sah, miliki lesen penternakan & jual beli daging buaya – Polis

PENAMPANG: Polis Daerah Penampang mengesahkan sebuah ladang penternakan buaya di daerah ini beroperasi secara sah dan memiliki lesen lengkap susulan penularan satu video klip berkaitan habitat buaya di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan dijalankan selepas pihaknya mengesan penularan video berdurasi satu minit yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di sebuah ladang penternakan buaya di kawasan Penampang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati ladang berkenaan beroperasi secara sah serta memiliki lesen penternakan dan lesen jual beli daging buaya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Sehubungan itu, jelasnya, video klip yang tular dipercayai dirakam berhampiran ladang penternakan buaya berlesen dan bukan melibatkan sebarang aktiviti haram atau ancaman keselamatan awam.

“IPD Penampang menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta sentiasa menyebarkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Exit mobile version