Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bantuan banjir tiba di SK Rampayan, sesi persekolahan dapat diteruskan

KOTA KINABALU: Bantuan segera yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal yang terjejas akibat banjir, telah tiba di sekolah berkenaan pada Jumaat (9 Jan).

Bantuan berkenaan melibatkan peralatan asas termasuk perabot sekolah bagi menggantikan kemudahan yang rosak akibat banjir, sekali gus membolehkan proses pembelajaran murid kembali berjalan dalam keadaan selesa dan selamat.

Penyaluran bantuan itu diselaraskan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Negeri Sabah sebagai langkah memastikan kebajikan murid dan guru terus terpelihara, selain mengelakkan gangguan berpanjangan terhadap sesi persekolahan.

Sebelum ini, James mengumumkan bantuan segera berkenaan susulan lawatan kerja beliau ke SK Rampayan pada Selasa lalu bagi meninjau tahap kerosakan yang dialami sekolah akibat banjir yang melanda kawasan Menggatal.

Hasil pemantauan mendapati kerosakan melibatkan perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta kemudahan bilik guru yang memerlukan tindakan segera sebelum sesi persekolahan diteruskan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah membekalkan kira-kira 300 unit meja dan kerusi murid, menggantikan sekitar 10 unit komputer dan sebuah pencetak, selain menyediakan hampir 40 unit meja dan kerusi guru yang rosak akibat banjir.

James sebelum ini menegaskan semua bantuan berkenaan perlu disalurkan dengan segera sebelum pembukaan sesi persekolahan bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas.

Selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terkesan akibat bencana banjir, dan kementerian memberi jaminan akan terus memantau situasi serta menyalurkan bantuan sewajarnya, termasuk dengan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Exit mobile version