Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bersembunyi sampai ke bumbung, 60 PATI ditahan dalam operasi di Tawau

TAWAU: Tindakan bersembunyi sehingga ke bumbung bangunan tidak menyelamatkan seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila mereka ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar daerah ini, pada 8 Januari lalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama kira-kira seminggu, melibatkan beberapa lokasi berasingan di Tawau.

Menurutnya, seramai 19 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Tawau terbabit dalam operasi itu dengan pemeriksaan dilakukan ke atas 192 individu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 60 individu warga Filipina dan Indonesia gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen yang sah.

Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu berkenaan, khususnya yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Exit mobile version