KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang baharu dengan jawatan bertaraf menteri.
Pelantikan itu menyaksikan beliau menggantikan ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang yang kini menyandang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Masiung turut mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Borneo Cement (S) Sdn Bhd, yang telah dipegang sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Mengulas pelantikan itu, Masiung merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas pelantikan sebagai Pengerusi SEDCO. Amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab demi memajukan syarikat dan menyumbang kepada agenda pembangunan negeri Sabah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam PRN lalu, Masiung, 53, berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuamut buat penggal kelima berturut-turut selepas menang dengan majoriti 457 undi.

