Site icon TUHAU BAMBANGAN

Aksi kejar mengejar berakhir tangkapan, lelaki curi kabel TM dicekup di Penampang

PENAMPANG: Aksi kejar mengejar di jalan raya berakhir dengan penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes khianat dan kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) di daerah Penampang, awal pagi tadi, kelmarin (9 Jan).

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan hasil maklumat risikan dan operasi khas Pasukan Petugas (Task Force) kes curi kabel yang mengesan sekumpulan lelaki sedang memotong kabel telekomunikasi di Jalan Taman Bulan, Penampang.

“Suspek bersama beberapa rakan lain cuba melarikan diri dengan menaiki kenderaan sebaik menyedari kehadiran polis, sebelum berlaku aksi kejar mengejar dari kawasan Penampang hingga ke Kota Kinabalu dengan bantuan kenderaan peronda polis IPD Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Menurut beliau, sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek berjaya ditahan, manakala beberapa rakan suspek lain berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan.

Dalam operasi itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes berkenaan antaranya segulung kabel telekom, alat pemotong besi serta sebuah kenderaan untuk tujuan siasatan lanjut.

Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sammy menegaskan Polis Daerah Penampang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah yang menjejaskan kemudahan awam serta keselamatan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau mana-mana kes jenayah lain diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Exit mobile version