Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis keluar 36 keping saman terhadap kenderaan ganggu lalu lintas di kawasan K Avenue, Penampang

PENAMPANG: Polis mengeluarkan sebanyak 36 keping saman terhadap kenderaan yang didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya parkir menghalang dan menyebabkan halangan jalan, dalam satu operasi khas penguatkuasaan di kawasan K Avenue, Jalan Kondudungan Ganang, di sini, pada Rabu.

Operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang susulan aduan awam mengenai kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak dibenarkan sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, tindakan tegas diambil bagi memastikan pematuhan peraturan lalu lintas serta mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.

“Operasi ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan parkir dan lalu lintas demi keselamatan serta keselesaan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa, terutama di kawasan tumpuan awam dan komersial yang sering menjadi lokasi aduan.

Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi mewujudkan persekitaran lalu lintas yang selamat, teratur dan harmoni di daerah Penampang.

Exit mobile version