Site icon TUHAU BAMBANGAN

Edar syabu, lelaki warga Filipina diberkas polis di Kg Bangau-Bangau

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing diberkas polis selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu seberat 5.74 gram dalam satu operasi di kawasan terbuka Kampung Bangau-Bangau, di sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Semporna kira-kira jam 4 petang ketika menjalankan Op Tapis.

Menurutnya, suspek berusia 30 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sebelum ditahan di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 5.74 gram yang berada dalam genggaman tangan suspek dan diserahkan sendiri kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek yang merupakan warganegara Filipina itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau hasil semakan awal yang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Tan menegaskan pihak polis akan terus komited memerangi jenayah narkotik demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, selain menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada balai polis berhampiran.

Exit mobile version