TAWAU: Seorang lelaki ditemukan maut awal pagi tadi selepas dihanyutkan arus banjir ketika cuba meredah jalan yang dinaiki air di Kampung Sungai Udin, di sini, pada malam Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 kira-kira jam 9.34 malam berhubung kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dihanyutkan arus banjir.
Menurutnya, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua buah motosikal dan empat individu, yang cuba melalui jalan raya dinaiki air sebelum kenderaan tersebut dihanyutkan arus deras.
“Seramai empat mangsa terlibat, dua berada di dalam kenderaan pacuan empat roda manakala dua lagi adalah penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela Merotai dan Umas, dengan bantuan PDRM, KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menggunakan kaedah pencarian permukaan di sepanjang tebing sungai dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut.
“Mangsa akhirnya ditemui pada jam 7.15 pagi oleh seorang pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Jelasnya, mangsa dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

