Site icon TUHAU BAMBANGAN

Gangguan air Kinarut–Kawang disyaki ada sabotaj, Armizan buat laporan polis

PAPAR: Isu gangguan kritikal bekalan air yang berlarutan di Mukim Kinarut dan Kawang sejak penghujung Disember 2025 kini disyaki melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur utiliti awam, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, dengan persetujuan Ketua Menteri Sabah, satu mesyuarat khas telah diadakan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama jabatan, agensi berkaitan serta kontraktor dua projek bekalan air di Papar bagi mencari penyelesaian segera terhadap masalah berkenaan.

“Saya sendiri hadir mesyuarat tersebut bersama ADUN Kawang, Limbahau dan Pantai Manis. Mesyuarat ini membincangkan solusi jangka pendek, sederhana dan panjang, selain mendengar penjelasan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai punca utama gangguan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Armizan, dapatan awal JANS mendapati berlaku gangguan terhadap injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pump) yang membekalkan air ke Mukim Kinarut dan Kawang, dipercayai melibatkan pengalihan bekalan ke kawasan luar sehingga melepasi sempadan Papar.

“Gangguan ini menyebabkan bekalan air ke kawasan yang sedia berada dalam jadual catuan menjadi semakin berkurangan dan mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk,” katanya.

Susulan laporan tersebut, Armizan berkata beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kinarut bagi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap tindakan yang disyaki melibatkan unsur jenayah.

“Walaupun JANS akan menjalankan siasatan dalaman, saya berpandangan perkara ini perlu turut disiasat oleh PDRM kerana ia melibatkan kemudaratan awam,” katanya.

Bagi langkah segera, Armizan memaklumkan beberapa strategi akan dilaksanakan termasuk penyambungan silang rangkaian paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon terus ke tangki utama Kawang, serta peningkatan kapasiti rawatan LRA Kogopon 1 sebanyak 10 peratus sebagai langkah interim.

“Garis masa yang disasarkan kepada JANS ialah dua minggu sebelum operasi bermula, dan Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberi komitmen untuk turun ke lapangan memantau pelaksanaan kerja,” katanya.

Mengulas polemik politik berkaitan isu berkenaan, Armizan menegaskan fokus beliau ketika ini adalah menangani kesulitan rakyat dan bukan melayan polemik politik.

“Rakyat tidak mahu mendengar balasan pantun politik. Keutamaan saya ialah menstabilkan bekalan air dan meredakan kesulitan penduduk,” katanya.

Exit mobile version