Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dewan gimnastik uzur: Nizam beri jaminan baiki fasiliti sukan, atlet perlu latihan selesa

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan keadaan uzur Dewan Gimnastik di Kompleks Sukan Likas bagi memastikan atlet negeri ini dapat menjalani latihan dalam suasana yang selesa dan selamat.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata beliau telah menerima maklumat berkaitan aduan tersebut dan mengarahkan Lembaga Sukan Negeri Sabah yang bertanggungjawab ke atas fasiliti sukan di negeri ini supaya menjalankan pemeriksaan serta mengemukakan laporan segera kepada kementerian.

“Saya telah meminta pihak pengurusan Lembaga Sukan melihat aduan ini dan menyediakan laporan segera supaya tindakan yang sesuai dapat diambil,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis menandatangani kerjasama penganjuran Borneo International Marathon antara Alliance Bank dan Kinabalu Running Club, di sini, hari ini.

Menurutnya, kementerian komited membaiki kelemahan yang dikenal pasti, manakala kemudahan yang berada dalam keadaan baik akan terus diselenggara dan dipertingkatkan.

Nizam berkata beliau juga akan mengadakan lawatan ke seluruh Sabah bagi meninjau sendiri keadaan fasiliti sukan sedia ada bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan.

“Saya mohon diberikan sedikit masa kerana saya akan turun padang melihat sendiri fasiliti-fasiliti sukan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan aduan serta maklum balas demi penambahbaikan berterusan.

Katanya, kementerian dan Lembaga Sukan Negeri Sabah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dengan fokus utama membangunkan belia, memajukan sukan dan memperkasa ekonomi kreatif di Sabah.

Nizam menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan semua kemudahan sukan berada dalam keadaan baik dan kondusif kerana persekitaran latihan yang selesa mampu membantu atlet meningkatkan prestasi dan melahirkan lebih ramai juara negeri dan negara.

Exit mobile version