KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar selepas merampas syabu bernilai kira-kira RM1.26 juta yang disorok dalam ‘saban’ (papan pemotong) menerusi beberapa serbuan di Penampang, sekali gus menahan tiga lelaki tempatan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan dan tindakan pantas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah dengan sokongan kerjasama pelbagai agensi keselamatan serta maklumat orang awam.
Menurutnya, serbuan utama dijalankan pada 6 Januari 2026 kira-kira jam 11.26 malam di sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang, yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menyusun bungkusan plastik dan kotak di ruang tamu.
“Hasil pemeriksaan menemukan 40 bungkusan plastik lut sinar bersaiz besar mengandungi hablur jernih disyaki methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 39.5 kilogram,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata dadah tersebut dipercayai disorok dalam barangan berbentuk ‘saban’ (papan pemotong) sebagai taktik sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa, selain menggunakan perkhidmatan penghantaran bagi mengedarkan bekalan ke pasaran tempatan.
Nilai pasaran rampasan dianggarkan mencecah RM1.26 juta dan dipercayai mampu menampung lebih 112,000 kali penggunaan, sekali gus memberi kesan besar terhadap rangkaian pengedaran dadah di negeri ini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, manakala kedua-dua suspek utama kini direman sehingga 14 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
Siasatan lanjut turut membawa kepada tangkapan susulan pada 2 Januari lalu di sebuah apartmen di Beverly Hills, Penampang, melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun, dengan polis merampas dadah jenis ekstasi dan ketamin seberat 283.71 gram bernilai hampir RM26,000 serta sebuah kenderaan Perodua Bezza.
PDRM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui Hotline JSJN 012-208 7222 bagi membanteras jenayah narkotik di Sabah.

