BEAUFORT: Lebih 10,000 petani di daerah ini dilaporkan terjejas teruk akibat banjir yang melanda sejak beberapa hari lalu, menyebabkan tanaman musnah dan ternakan mati, sekali gus menjejaskan pendapatan serta keselamatan makanan setempat.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, banjir berkenaan menenggelamkan sawah padi, tanaman buah-buahan dan tanaman makanan di beberapa kawasan pertanian utama.
“Di kawasan yang sering dilanda banjir, tanaman mati akibat air bertakung, manakala ternakan pula tidak mampu bertahan dalam keadaan sejuk dan banjir yang berpanjangan. Keadaan ini jelas menjejaskan pendapatan petani dan keselamatan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) serta menyampaikan bakul makanan kepada mangsa banjir di daerah ini, pada Rabu.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain tanaman, penternak turut mengalami kerugian besar susulan kematian ternakan seperti kambing dan ayam, selain kerosakan kolam ternakan akibat limpahan air.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua petani dan penternak terjejas supaya segera melaporkan kerosakan kepada Pegawai Pertanian Daerah bagi tujuan pemeriksaan dan penilaian sebelum laporan dikemukakan ke peringkat negeri dan kementerian.
Menurutnya, pelaporan yang lengkap dan tepat amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar terjejas serta mempercepatkan proses pemulihan sektor pertanian dan penternakan.
“Kerugian akibat banjir ini dianggarkan mencecah jutaan ringgit melibatkan kehilangan hasil tanaman, kematian ternakan serta kerosakan harta benda. Bantuan segera amat diperlukan bagi meringankan beban petani dan penternak,” katanya.

