TAWAU: Pertengkaran rumah tangga dipercayai berpunca daripada perebutan telefon bimbit membawa padah apabila seorang wanita cedera di bahagian muka dan belakang kepala selepas dipukul suaminya dalam kejadian di Kampung Rancangan Batu 22, Jalan Apas, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang bimbang akan keselamatannya tampil membuat laporan polis selepas dipercayai dipukul oleh suaminya ketika berada di rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah menjalankan operasi dan berjaya mengesan serta menahan suspek yang disyaki terlibat dalam kes keganasan rumah tangga berkenaan.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia sekitar 44 tahun dan mempunyai rekod lampau, termasuk pernah dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas suspek gagal mengawal kemarahan ketika bertengkar dengan isterinya, sebelum bertindak memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
ACP Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan sebarang konflik rumah tangga secara berhemah dan mendapatkan bantuan pihak berkuasa atau saluran yang betul bagi mengelakkan kejadian keganasan.

