Site icon TUHAU BAMBANGAN

JPNS diarah segera bekalkan peralatan SK Rampayan terjejas banjir

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) diarahkan supaya segera membekalkan peralatan dan kelengkapan sekolah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, yang terjejas akibat bencana banjir, bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Datuk James Ratib berkata, arahan itu dikeluarkan susulan lawatan beliau ke sekolah berkenaan hari ini untuk meninjau tahap kerosakan serta keperluan mendesak selepas banjir melanda kawasan tersebut sejak dua hari lalu.

“Daripada lawatan dan pemeriksaan yang dijalankan, kita dapati beberapa kemudahan sekolah termasuk perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta bilik guru mengalami kerosakan akibat banjir. Oleh itu, saya telah mengarahkan JPNS supaya tindakan segera diambil,” katanya.

Menurut beliau, JPNS diarahkan membekalkan kira-kira 300 unit meja dan kerusi murid, menggantikan lebih kurang 10 unit komputer serta sebuah pencetak yang rosak, selain menyediakan sekitar 40 unit meja dan kerusi guru bagi menggantikan peralatan yang terjejas.

“Semua bantuan ini mesti dibekalkan dan dihantar ke sekolah sebelum pembukaan sesi persekolahan pada Isnin minggu hadapan supaya keselesaan, keselamatan dan kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas,” katanya.

Lawatan kerja itu turut disertai Pembantu Menteri KPSTI, Jordan Jude Ellron; pegawai-pegawai JPNS; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari Sabin; Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Moktar serta; Ketua Kampung, Rampayan Agku Samsu Pg Mobin.

James turut merakamkan penghargaan kepada JPNS serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah atas kerjasama serta tindakan pantas membantu kerja pembersihan dan pemulihan sekolah.

Selain SK Rampayan, beliau memaklumkan beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terjejas akibat banjir dan pihak kementerian akan terus memantau keadaan serta menyalurkan bantuan sewajarnya, termasuk menggerakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian sebagai sokongan tambahan kepada usaha pemulihan.

Exit mobile version