KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kes seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar pada 3 Januari lalu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah, sebaliknya remaja berkenaan didapati mengikut rakannya keluar ke luar daerah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 9.02 malam pada hari sama selepas pengadu memaklumkan anak perempuannya keluar rumah sekitar jam 5.30 petang untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit berhampiran, namun tidak pulang sehingga lewat malam.
Menurutnya, sejurus laporan diterima, pihak polis telah menjalankan siasatan segera termasuk mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga terdekat serta usaha menghubungi remaja berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati remaja tersebut telah mengikut rakannya keluar ke luar daerah dan tiada sebarang unsur jenayah seperti culik atau salah laku jenayah lain, seperti yang tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
ACP Kasim berkata, remaja berkenaan kini telah selamat pulang ke rumah dan kes tersebut direkodkan di bawah satu laporan polis berasingan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat, sebaliknya menyalurkan maklumat tepat dan berfakta kepada pihak berkuasa sekiranya melibatkan isu keselamatan awam.

