Site icon TUHAU BAMBANGAN

Infrastruktur sistem pengairan lama bakal ditambah baik – Jamawi

TUARAN: Infrastruktur sistem pengairan lama di beberapa kawasan di Sabah perlu ditambah baik bagi menyokong kelangsungan dan keselamatan aktiviti pertanian, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan tanah pertanian dapat diusahakan secara lebih berkesan, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan tanaman akibat banjir, khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa pada tahun ini atau tahun hadapan kita perlu mencari peruntukan bagi menyelesaikan isu sistem pengairan lama ini,” katanya.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, usaha berkenaan akan diteruskan walaupun perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk perbincangan bersama Ketua Menteri atau kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi para petani yang sering mengalami kerugian setiap kali banjir melanda, terutama di kampung-kampung yang masih belum mempunyai sistem pengairan dan tebatan banjir yang berkesan.

“Walaupun ada kawasan yang telah dibina struktur tebatan seperti gabion, masih terdapat kampung yang belum menerima kemudahan tersebut,” katanya.

Jamawi menegaskan penggunaan kemahiran, kepakaran serta sumber perlu dilaksanakan secara lebih berkesan bagi memastikan isu pengairan dapat ditangani secara menyeluruh dan mampan.

“Penduduk hanya mahukan jaminan bahawa sumber makanan dan hasil pertanian mereka tidak terjejas sepanjang tahun kerana pertanian adalah nadi kehidupan para petani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah 2026 di Shangri-La Rasa Ria, di sini, yang berlangsung dari 5 hingga 8 Januari dan dihadiri kira-kira 120 pegawai kanan termasuk jurutera serta penolong jurutera dari seluruh negeri.

Jamawi turut menegaskan kepentingan perancangan rapi dalam pengurusan projek pembangunan, khususnya melibatkan peruntukan besar, bagi memastikan setiap program dilaksanakan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Exit mobile version