KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur tanpa kelulusan di kawasan Sembulan bermula awal Januari 2026, melibatkan struktur haram, usang, tidak selamat didiami serta bangunan yang telah luput tempoh pajakan.
DBKK dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan dan pemantauan berterusan pihak bandar raya yang mendapati wujud penempatan serta struktur dibina tanpa kelulusan, melanggar undang-undang kecil, selain berada dalam keadaan tidak teratur, kotor dan berisiko kepada keselamatan awam.
Menurut DBKK, kawasan terlibat turut dikenal pasti sebagai antara lokasi dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di daerah Kota Kinabalu, sekali gus menimbulkan ancaman kesihatan kepada penduduk setempat.
“Hasil bancian dan pemeriksaan teknikal mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, perancangan serta kebersihan, selain mencacatkan imej bandar raya dan meningkatkan risiko kebakaran, pencemaran alam sekitar serta menjejaskan perancangan pembangunan yang sah,” menurut kenyataan itu.
Bancian turut merekodkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara menyewa di kawasan berkenaan, dengan majoritinya terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah. DBKK turut menerima rungutan penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan di kawasan terbabit.
Tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar (Sembulan Renewal Scheme) yang bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar, keselamatan dan kesejahteraan penduduk ke arah pembangunan kawasan Sembulan yang lebih moden, teratur, bersih dan berdaya huni.
Sebagai langkah awal, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah menjalankan bancian penduduk dan struktur pada 8 hingga 12 Disember 2025, diikuti pengesahan status kelulusan bangunan, tahap keselamatan dan risiko persekitaran. Notis pengosongan dan perobohan turut dikeluarkan antara 18 hingga 22 Disember 2025 dengan tempoh munasabah diberikan untuk pengosongan sukarela.
DBKK menegaskan kegagalan mematuhi notis berkenaan atau cubaan menduduki semula kawasan serta membina struktur baharu tanpa kelulusan akan mengakibatkan tindakan tegas termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta.
Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.
DBKK menyeru semua pihak terlibat agar memberikan kerjasama penuh serta mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kelancaran pelaksanaan tindakan berkenaan.

