Site icon TUHAU BAMBANGAN

Curi enam helai T-shirt di Imago, suspek lelaki kini diburu polis

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian barangan di sebuah premis perniagaan di Imago Shopping Mall, yang berlaku pada 3 Januari lalu.

Menurut Polis Daerah Kota Kinabalu, satu laporan polis telah diterima berhubung kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan menunjukkan seorang suspek lelaki berbaju merah dipercayai mengambil enam helai baju T-shirt sebelum beredar dari kedai tanpa membuat bayaran.

Polis memaklumkan, hasil semakan awal mendapati kejadian itu berlaku dalam tempoh singkat dan suspek bertindak seorang diri.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Saiful Azri di talian 014-611 5879, IPD Kota Kinabalu di 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kerjasama orang awam amat dihargai katanya, bagi membantu siasatan dan mengekalkan keselamatan awam.

Exit mobile version