PUTATAN: Enam buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar di Kampung Ketiau, di sini, awal pagi tadi, menyebabkan beberapa keluarga kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.48 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan jentera ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.
Kebakaran berkenaan melibatkan enam buah rumah pelbagai saiz dan binaan, terdiri daripada lima rumah jenis tidak kekal dan sebuah rumah separuh kekal, yang masing-masing terbakar 100 peratus.
Ketua Balai BBP Putatan, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, seramai 37 anggota bomba daripada BBP Putatan, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu dikerahkan bagi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan, menggunakan sumber air daripada jentera bomba, lori tangki air serta sumber air terbuka dari sungai berhampiran,” katanya.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.24 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 10.59 pagi selepas memastikan keadaan selamat.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan. Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran serta sebuah kenderaan jenis Proton Saga daripada turut terbakar,” katanya.
Operasi pemadaman turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sabah Electricity, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pejabat Parlimen P173 serta Pejabat Daerah Putatan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

