KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah semakin serius apabila jumlah mangsa terjejas meningkat kepada 510 penduduk daripada 164 ketua isi rumah (KIR) setakat 4 petang hari ini, membabitkan dua daerah utama iaitu Beaufort dan Kota Kinabalu.
Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah (SDCC), peningkatan ketara dicatatkan di Beaufort dengan 328 penduduk daripada 118 KIR terjejas, melibatkan lapan kampung yang dilaporkan dinaiki air.
Semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon, yang mula dibuka sejak 2 Januari lalu pada jam 5 petang.
Di Kota Kinabalu, keadaan banjir dilaporkan kekal, dengan 182 penduduk daripada 46 KIR masih berlindung di Dewan Masjid Al Munir, Kampung Darau, melibatkan sebuah kampung terjejas. Pusat pemindahan itu dibuka pada 3 Januari lalu, jam 9 malam.
Secara keseluruhan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di kedua-dua daerah berkenaan.
Pecahan demografi menunjukkan mangsa terjejas terdiri daripada 108 lelaki dewasa dan warga emas, 177 wanita dewasa, serta 225 kanak-kanak dan bayi, melibatkan 114 lelaki dan 111 perempuan.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, selain tiada mangsa terperangkap atau berada di luar PPS direkodkan oleh pihak berkuasa.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan pemantauan berterusan sedang dijalankan dengan kerjasama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas serta kelancaran pengurusan bantuan dan kebajikan mangsa.

