Site icon TUHAU BAMBANGAN

2 maut, 5 cedera dalam kemalangan Iswara bertembung Triton di Jalan KK–Papar

PENAMPANG: Dua penumpang sebuah Proton Iswara maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan kereta berkenaan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton di Jalan Kota Kinabalu–Papar, berhampiran lampu isyarat Sabindo, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi, melibatkan Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 27 tahun, serta Proton Iswara yang dipandu lelaki tempatan dengan empat penumpang berusia antara 17 hingga 21 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara memasuki persimpangan lampu isyarat sebelum bertembung dengan Mitsubishi Triton yang sedang bergerak lurus.

“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang Proton Iswara berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang berusia 17 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I.

“Pemandu Proton Iswara dan tiga penumpangnya mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan, manakala penumpang Mitsubishi Triton turut cedera dan pemandu Triton dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang.

Exit mobile version