Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tindakan berzikir tengah malam di kubur masih disiasat, jika sesat akan difatwa – Arifin

PUTATAN: Siasatan masih dijalankan berhubung kejadian sekumpulan individu berzikir di tanah perkuburan Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi, yang tular baru-baru ini, kata Exco Agama Sabah, Mohd Arifin Arif.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), khususnya Bahagian Penyiasatan, untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan.

“Insya-Allah, pada minggu ini saya akan mendapatkan maklumat penuh berkaitan siasatan tersebut. Ini merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian dan dicegah sekiranya menyalahi ajaran Islam,” katanya.

Menurut beliau, setelah siasatan selesai, perkara itu akan dirujuk kepada Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah untuk penelitian lanjut.

“Sekiranya ia dikenal pasti sebagai ajaran yang salah, maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Arifin berkata demikian selepas menghadiri Majlis Haul ke-31 Allahyarham Tun Datuk Seri Panglima Haji Datu Mustapha Datu Harun di Putatan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menegaskan, sekiranya hasil siasatan mendapati amalan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam, ia bukan sahaja boleh dibincangkan malah berkemungkinan untuk diwartakan sebagai ajaran sesat.

Tambahnya, individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan lima lelaki berzikir dalam keadaan mencurigakan di sebuah tanah perkuburan di Kampung Lupak sejak Rabu lalu.

Difahamkan, kejadian itu disedari penduduk setempat yang mengesyaki kegiatan berkenaan berlaku pada tengah malam Ahad lalu sebelum merakam video terbabit.

Menerusi rakaman berdurasi singkat itu, kelima-lima lelaki berkenaan dilihat duduk di tepi beberapa kubur sambil berzikir.Bagaimanapun, penduduk mendakwa tidak dapat memastikan dengan jelas lafaz atau bacaan yang disebut individu terbabit.

Exit mobile version