Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kanak-kanak 4 tahun maut, tiga lagi parah, motosikal dinaiki rempuh ‘4WD’ di Semporna

SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut manakala tiga lagi individu cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Kampung Tampi-Tampi, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan bapa mangsa, seorang lagi kanak-kanak serta seorang lelaki dewasa yang menaiki motosikal sama mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan intensif di hospital berdekatan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Tan Hiap Wah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita sedang membelok ke simpang kanan jalan sebelum dirempuh motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Menurut beliau, motosikal berkenaan dinaiki empat individu termasuk dua kanak-kanak.

“Akibat perlanggaran itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang saksi kejadian memaklumkan kenderaan pacuan empat roda berkenaan telah memperlahankan kenderaan dan memberi isyarat membelok ke simpang Masjid Kampung Tampi-Tampi sebelum insiden berlaku.

Tambahnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada, mematuhi had laju serta mengutamakan keselamatan, khususnya ketika menghampiri persimpangan dan kawasan tumpuan orang ramai.

Exit mobile version