PAPAR: Seorang bayi lelaki cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Bongawan, di sini, awal pagi 1 Januari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, penemuan bayi berkenaan dimaklumkan oleh seorang wanita berusia 21 tahun yang mendakwa menemui bayi terbabit dalam keadaan masih berdarah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan bayi tersebut sebelum sepasukan polis yang diketuai pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang bayi lelaki cukup sifat berada di dalam tandas wanita stesen minyak berkenaan.
“Bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil serta di bawah pemantauan pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal turut membawa kepada penahanan seorang wanita yang disyaki ibu kepada bayi berkenaan bagi membantu siasatan.
“Wanita tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Namun siasatan masih diteruskan dan kes ini sedang diteliti secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan bagi memastikan kes berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya.

