Site icon TUHAU BAMBANGAN

Langgar lampu merah & Alza, penunggang motosikal maut, isteri cedera di ‘traffic light’ BSA Kolombong

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut manakala isterinya cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat BSA Kolombong, di sini, awal pagi 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.55 pagi apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Inanam dipercayai bergerak lurus dan melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar bahagian sisi kiri sebuah MPV jenis Perodua Alza.

“Siasatan awal mendapati MPV berkenaan sedang membelok ke kanan menuju ke arah BSA Kolombong selepas lampu isyarat bertukar hijau sebelum berlaku perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 10 pagi oleh pegawai perubatan. Pembonceng motosikal yang juga isteri mangsa serta pemandu MPV mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

ACP Kasim berkata, pemeriksaan awal mendapati motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala MPV rosak di bahagian sisi kiri. Kedua-dua kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh Puspakom.

Katanya, polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mengambil gambar serta lakaran rajah kasar, mengesan saksi bebas dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222.

Exit mobile version