TAWAU: Dua individu maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal, lori lima tan dan Toyota Hilux di Batu 16, Jalan Apas Balung, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.26 petang itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan kecemasan sebelum tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Pengganti Ketua Balai BBP Tawau, PPgB Madzlan Sarman berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan, Toyota Hilux dan sebuah motosikal, dengan penunggang serta pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Dua mangsa lelaki dan perempuan yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua mangsa di dalam lori lima tan yang tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu Toyota Hilux berusia 61 tahun turut mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan.
Operasi yang turut dibantu PDRM dan KKM itu tidak melibatkan kerja-kerja penyelamatan, dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Tegas Madzlan, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas, terutama ketika melalui laluan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

