PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan di Jalan Bundusan, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, pada 29 Disember lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah motokar dan sebuah motosikal, apabila kenderaan yang dipandu menghala ke Towering melalui Jalan Bundusan dipercayai terbabas ketika dipandu dalam keadaan hujan lebat sebelum melanggar motosikal yang berada berhampiran.
Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal, seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladon di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta peka dengan keadaan cuaca, khususnya ketika hujan dan pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

