Site icon TUHAU BAMBANGAN

Suspek kes tikam lelaki warga asing ditahan di Jalan Apas

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan susulan insiden tikaman melibatkan seorang lelaki warga asing di perkampungan Batu 4, Jalan Apas, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.15 malam semalam apabila mangsa berusia lingkungan 20-an dimaklumkan ditikam pada bahagian siku kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, hasil tindakan pantas susulan laporan yang diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek berusia 20 tahun kira-kira jam 2.30 pagi.

“Suspek merupakan lelaki tempatan dan telah dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, ACP Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, mengelakkan sebarang bentuk konfrontasi serta segera melaporkan kejadian jenayah kepada pihak polis.

Beliau berkata, tindakan pantas polis dalam kes ini diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa aspek keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa.

Exit mobile version