KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus penyertaan anak muda dalam kelab, persatuan dan aktiviti kesukarelawanan di negeri ini pada tahun depan, sebagai usaha memperkasa pembangunan belia secara menyeluruh.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai penanda aras baharu memandangkan kadar penyertaan belia di Sabah ketika ini masih rendah, iaitu sekitar 15 peratus daripada keseluruhan populasi belia negeri yang dianggarkan seramai 2.2 juta orang.
“MBS meletakkan sasaran penyertaan sebanyak 40 peratus sebagai penanda aras untuk dicapai bersama badan-badan gabungan belia di Sabah. Misi ini akan digerakkan secara kolektif bagi merancakkan pembangunan belia di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran berkenaan, MBS merancang untuk memperbanyakkan penganjuran program pembangunan belia khususnya di peringkat akar umbi sepanjang tahun 2026.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan program berimpak tinggi itu memerlukan sokongan dan bantuan kewangan tambahan daripada kerajaan bagi memastikan usaha pembangunan belia dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
“Usaha ini memerlukan sokongan kuat kerajaan, terutamanya dari segi pembiayaan. Kami berharap kerajaan melihat misi ini sebagai satu bentuk pelaburan dalam pembangunan modal insan yang mampu menyuburkan potensi belia Sabah,” katanya.
Untuk rekod, MBS kini menaungi 19 badan gabungan belia termasuk Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Sabah, The Boys’ Brigade (BB) Sabah, The Girls’ Brigade (GB) Sabah, St. John Ambulance Malaysia (SJAM) Sabah, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah, Junior Chamber International (JCI) Sabah serta sembilan lagi gabungan persatuan belia di peringkat bahagian.

